Skip to content

PRU-14: PILIHAN RAYA PADA HARI KERJA, MACAM MANA NAK UNDI? KETAHUI HAK ANDA

Pada 10 April 2018, Tan Sri Mohd Hashim bin Abdullah  telah mengumumkan bahawa Pilihan Raya ke-14 akan jatuh pada hari Rabu, 9 Mei 2018 yang merupakan hari bekerja. Ini mungkin menimbulkan tanda tanya:

“Macam mana nak pergi undi, kalau kena pergi kerja?”

Usah khuatir, sebagai seorang pengundi yang bekerja majikan anda harus memberikan masa yang secukupnya kepada anda untuk pergi mengundi dan majikan anda TIDAK boleh memotong gaji anda atau menolak cuti tahunan anda.

Perkara ini termaktub sebagai satu kesalahan dibawah Seksyen 25 AKTA KESALAHAN PILIHAN RAYA, 1954 yang telah menyatakan seperti berikut:

Majikan hendaklah membenarkan tempoh yang munasabah bagi pekerja mengundi

25. (1) Tiap-tiap majikan hendaklah, pada hari mengundi, membenarkan suatu tempoh yang munasabah bagi tiap-tiap pemilih yang bekerja dengannya mengundi, dan tiada majikan boleh membuat apa-apa potongan daripada gaji atau saraan lain mana-mana pemilih itu atau mengenakan ke atasnya atau menuntut daripadanya apa-apa penalti oleh sebab dia tidak hadir bekerja dalam tempoh itu.

(2) Seksyen ini hendaklah meliputi pekerja syarikat pengganti sebagaimana yang ditakrifkan dalam seksyen 2 Akta Keretapi (Syarikat Pengganti) 1991 [Akta 464] dan pekerja Kereta Api Sabah kecuali mana-mana pekerja yang sebenarnya bertugas mengendalikan kereta api dan yang baginya masa itu tidak boleh dibenarkan tanpa mengganggu pengendalian kereta api itu; dan Pengurus Besar hendaklah, dalam setiap hal itu, disifatkan sebagai majikan bagi pekerja itu.

(3) Mana-mana majikan yang, secara langsung atau tidak langsung, enggan memberikan, atau dengan intimidasi, dengan pengaruh tidak wajar, atau dengan apa-apa cara lain, mengganggu pemberian suatu tempoh yang munasabah untuk mana-mana pemilih yang bekerja dengannya mengundi, sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen ini, boleh apabila disabitkan secara terus didenda sebanyak lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama satu tahun.

(4) Seksyen ini tidak meliputi mana-mana kategori pekerja yang ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Suruhanjaya Pilihan Raya melalui pemberitahuan dalam Warta.

(5) Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan setiap Negeri terikat kepada seksyen ini.

(6) Dalam seksyen ini, “majikan” mempunyai erti yang sama seperti dalam Akta Kerja 1955 [Akta 265].

Oleh demikian, keluarlah mengundi tanpa perlu takut gaji atau cuti tahunan anda ditolak oleh majikan!