Perceraian dalam Islam di Malaysia

Perceraian merupakan jalan dan langkah terakhir bagi menyelesaikan masalah rumahtangga. Kajian mendapati kebanyakan perkahwinan kali pertama yang berakhir dengan perceraian adalah dalam tempoh 5 tahun dan ke bawah iaitu, tempoh perkahwinan yang dianggap masih dalam proses perkenalan antara pasangan dan belum matang sepenuhnya. Perceraian dalam Islam di Malaysia tidak hanya berkisar mengenai talaq.

Terdapat beberapa jenis perceraian yang menjadi pilihan pasangan berkahwin di Malaysia. Antaranya :-

a) Perceraian secara talaq dengan persetujuan bersama;
b) Perceraian tanpa persetujuan bersama;
c) Cerai ta’liq;
d) Cerai fasakh;
e) Perceraian secara tebus talaq (khuluq); dan
f) Pengesahan lafaz cerai di luar Mahkamah.

Adalah diingatkan bahawa pihak-pihak hendaklah terlebih dahulu mengenal pasti punca dan permasalahan yang membelenggu masalah rumahtangga pihak-pihak sebelum memfailkan kes perceraian di Mahkamah. Umpama kita datang ke kedai kasut untuk membeli dan memilih kasut yang sesuai dengan kaki kita agar ianya selesa dipakai, bersesuaian dengan saiz kaki dan sedap mata memandang. Ini bagi memastikan kelancaran dan memudahkan lagi urusan pihak-pihak dalam menyelesaikan kes pihak-pihak di Mahkamah dengan cepat.

Tidak semua perceraian perlu melalui tempoh sebutan dan perbicaraan yang panjang di Mahkamah Syariah terdapat juga pasangan yang memfailkan perceraian dengan persetujuan bersama. Perceraian ini dilihat lebih mudah, menjimatkan masa, wang dan tenaga serta tidak perlu berpenat lelah untuk turun naik Mahkamah.

Jenis-jenis perceraian di Malaysia

1) Perceraian secara talaq dengan persetujuan bersama ini telah di peruntukkan di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 (EUUKIS 2003). Sekiranya salah satu pihak tidak bersetuju untuk bercerai secara baik, Seksyen 47(5) Enakmen yang sama memperuntukkan perceraian tanpa persetujuan bersama.

2) Cerai Ta’liq pula merupakan lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan/atau suami menceraikan isterinya secara bersyarat. Sah jatuh talaq apabila berlaku perlanggaran syarat oleh isteri atau suami. Perceraian secara ta’liq ini boleh dirujuk di bawah Seksyen 50 EUUKIS 2003.

3) Fasakh adalah salah satu jenis perceraian yang menjadi pilihan dan sangat popular di kalangan para isteri yang teraniaya. Alasan-alasan fasakh telah diperuntukkan dibawah Seksyen 53 EUUKIS 2003. Penjelasan selanjutnya di “Prosedur Perceraian Fasakh”.

4) Manakala, perceraian secara tebus talaq berlaku dengan keinginan isteri untuk bercerai. Maksudnya isteri menebus dirinya agar dibebaskan oleh suaminya dengan cara membayar sejumlah amaun yang dipersetujui antara kedua belah pihak. Sila rujuk Seksyen 49 EUUKIS 2003 bagi perceraian tebus talaq.

5) Seksyen 57 EUUKIS 2003 memperuntukkan bagi pengesahan lafaz cerai di luar Mahkamah. Mana-mana pihak boleh memfailkan kes pengesahan lafaz cerai sekiranya pihak suami bertindak melafazkan cerai di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah sama ada lafaz talaq 1, 2, 3 mahupun talaq bersyarat.

Anda mempunyai kemusykilan atau tidak pasti dengan apa yang perlu dibuat? Pihak kami sedia membantu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fareez Shah and Partners