Prosedur Perceraian Fasakh di Malaysia

Baru-baru ini, saya ada menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang berhasrat untuk menuntut perceraian secara fasakh dengan suaminya. Sebelum wanita itu meneruskan sesi perbualan, saya bertanya sama ada suaminya telah melafazkan cerai kepadanya. “Belum” jawab wanita itu ringkas. “Kenapa tidak bercerai secara baik” saya menyoal lagi. Wanita tersebut menjawab “Dia tidak mahu ceraikan saya dan mahu menyeksa saya. Suami saya panas baran, acapkali saya menjadi “punching bag” dan nafkah seringkali di abaikan”.

Tujuan saya bertanyakan soalan tersebut adalah untuk memastikan bahawa wanita tersebut benar-benar faham dan tahu konsep sebenar perceraian fasakh yang dipohon.

Persoalannya, apakah pilihan yang wanita itu ada? Apakah hak yang diberikan untuknya di bawah Undang-undang Syariah? Tidak dinafikan, kebanyakan orang awam beranggapan bahawa hanya suami yang layak untuk melafazkan talaq dan perempuan sebagai isteri tiada hak untuk menuntut perceraian daripada suaminya. Ini tidak benar sama sekali!!

“Marriage : You shield it, You protect it”

Dalam hal sedemikian, si isteri boleh menuntut perceraian secara fasakh atas alasan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mahkamah yang berbidangkuasa?

Perceraian fasakh boleh difailkan di Mahkamah Rendah Syariah di negeri pihak-pihak bermastautin. Sekiranya pihak isteri mempunyai alamat kediaman di Pahang namun menetap di Selangor, pastikan pihak isteri berbincang dengan Peguam Syarie supaya akuan pemastautin difailkan. Pastinya Peguam Syarie lebih arif dan tahu selok belok undang-undang dalam memastikan kesenangan dan kelancaran kes.

Prosedur perceraian fasakh?

Selain perlu memenuhi alasan-alasan  cerai di bawah Seksyen 53 tersebut di atas, pihak isteri juga boleh mendapatkan dokumen sokongan seperti laporan polis, laporan perubatan dan Perintah Perlindungan Sementara sebagai eksibit bagi menyokong dakwaan terhadap cerai fasakh yang dituntut.

Tempoh masa?

Perceraian secara fasakh mengambil masa selama 6 bulan ke atas. Ada juga kes yang memakan masa sehingga 2 tahun. Kebiasaannya, selepas kes difailkan di Mahkamah, Mahkamah akan menetapkan satu tarikh sebutan bagi pendengaran kes tersebut. Pihak suami dan isteri  dikehendaki hadir pada tarikh sebutan. Prosiding akan memakan masa sekiranya saman tersebut tidak dapat diserahkan kepada pihak suami. Prosiding ini juga akan melibatkan tempoh sebutan dan perbicaraan yang memerlukan saksi-saksi dan dokumen yang lengkap bagi pensabitan perceraian fasakh.

Adalah dicadangkan supaya  pihak-pihak melantik Peguam Syarie bagi memastikan prosedur dan kertas prosiding di Mahkamah sempurna dan teratur. Tidak perlu lagi pihak isteri pening kepala untuk turun naik ke Mahkamah bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu dirinya.

Kesan cerai fasakh?

Tiada rujuk antara suami isteri sekiranya pihak-pihak telah disabitkan bercerai secara fasakh oleh Hakim. Ini kerana hukum cerai fasakh adalah talaq ba’in sughra yang mana sekiranya suami ingin merujuk bekas isterinya semula hendaklah melalui akad nikah yang baru.

Bagi wanita yang dianiayai, kita hendaklah cakna berkaitan hak dan undang-undang, tidak boleh hanya duduk berdiam diri menunggu keputusan daripada suami bagai menunggu bulan jatuh ke riba.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fareez Shah and Partners