Ditulis Oleh : Wan Nurul Nadiah Binti Wan Zulkifli (Universiti Sains Islam Malaysia-USIM)
Mutakhir ini, Malaysia digemparkan dengan isu penceraian yang kian hangat diperkatakan di media sosial malahan menjadi trend yang sangat normal dalam kehidupan masyarakat kita. Apa itu perkahwinan? Perkahwinan merupakan satu jalan yang baik untuk mengikat hubungan suami dan isteri, namun apabila perkahwinan yang dibina gagal untuk di pertahankan, mereka lebih memilih untuk mengakhiri perkahwinan ini dengan perpisahan atau penceraian rumah tangga. Mereka merasakan bahawa perpisahan merupakan jalan yang terbaik. Walaupun semua orang yang berkahwin tidak pernah menginginkan perceraian, namun kes perceraian masih kerap berlaku dalam kalangan masyarakat.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan data yang berkaitan dengan kes penceraian pada Nov 2023, menunjukkan kes penceraian semakin meningkat iaitu daripada 43,936 kes pada tahun 2021 kepada 62,890 kes pada tahun 2022. Bilangan penceraian meningkat sehingga 43.1% pada 2022 berbanding pada tahun sebelumnya dan kadar tertinggi yang direkodkan sejak 2016. Kadar penceraian am bagi lelaki meningkat daripada 6.1 kepada 8.7 bagi setiap 1,000 penduduk lelaki berumur 18 tahun dan lebih yang berkahwin manakala kadar penceraian bagi perempuan mencatatkan daripada 6.2 kepada 8.9 bagi setiap 1,000 penduduk perempuan berumur 16 tahun dan lebih yang belum berkahwin. Ketua Perangkawan berkata, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kes penceraian tertinggi adalah pada kumpulan umur dalam lingkungan 35-39 tahun bagi lelaki manakala bagi perempuan dalam lingkungan umur 30-34 tahun.
Artikel berkaitan : Perceraian Dalam Islam
Setiap perkahwinan disyariatkan oleh Allah SWT dalam Islam bertujuan untuk beroleh kasih sayang, rahmat dan merupakan ibadah serta memiliki hikmah. Firman Allah SWT dalam surah Al-Rum, ayat 21 menjelaskan tentang tujuan perkahwinan iaitu:
وَمِنْ اٰيٰتِهٖٓ اَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِّنْ اَنْفُسِكُمْ اَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوْٓا اِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَّوَدَّةً وَّرَحْمَةً ۗاِنَّ فِيْ ذٰلِكَ لَاٰيٰتٍ لِّقَوْمٍ يَّتَفَكَّرُوْنَ(21)
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir.
(Surah Ar-Rum;21)
Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT menjelaskan tentang hakikat manusia, iaitu hidup berpasang-pasangan antara lelaki dan perempuan dari jenisnya sendiri. Allah SWT memerintahkan hambaNya untuk berkahwin kerana perkara ini merupakan ibadah yang mempunyai manfaat dan hikmahnya tersendiri. Selain itu, perkahwinan ini dapat menghadirkan rasa sakinah, mawaddah dan warahmah. Secara hakiktanya, trend penceraian ini agak menggerunkan bagi kita yang mana, mengakibat ramai di kalangan masyarakat pada masa kini merasa takut untuk berkahwin bahkan mengatakan hidup secara berseorangan lebih baik daripada berpasangan. Namun setiap perpisahan atau penceraian yang berlaku itu pasti ada punca dan faktor di sebaliknya. Ini membawa kita kepada persoalan berikutnya, apakah antara punca yang berlaku penceraian di kalangan masyarakat kini?
Punca berlaku perceraian
1)Kehadiran orang ketiga
Antara punca utama yang berlaku penceraian di Malaysia ialah kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga.Orang ketiga yang dimaksudkan ialah sesiapa sahaja boleh menjadi orang ketiga dalam sesebuah rumah tangga orang lain, sama ada seorang lelaki mahupun wanita yang cuba untuk mengeruh, mencampuri serta menganggu gugat. Hal ini menjadi sebab kepada berlakunya ketidakharmonian atau ketenteraman perkahwinan seseorang. Dalam Islam, hukumnya berdosa menjadi orang ketiga berdasarkan dalam sebuah hadis yang menerangkan perbuatan mencintai isteri atau suami orang lain adalah haram dan sudah jelas bahawa perbuatan tersebut merupakan salah satu punca kepada kehancuran dan keruntuhan rumah tangga dalam sesebuah keluarga dan perbuatan ini amat dimurkai oleh Rasulullah SAW.
Nabi S.A.W bersabda;
ليس منا من خبب (اي فسد) إمــرأة على زوجها
“Bukan dikalangan kami (umat nabi Muhammad) orang yang merosakkan hubungan seorang isteri dengan suaminya”.
[“HR Abu Daud: 2175 dan dinilai SAHIH oleh AsSyaikh Al-Albani dalam “Sahih wa dho’if Sunan Abi Daud”]
2)Tiada persefahaman
Tiada persefahaman antara suami dan isteri merupakan antara punca terbesar penceraian dalam perkahwinan. Persefahaman merupakan salah satu elemen yang penting dalam mengekalkan sesuatu hubungan serta mewujudkan rumah tangga yang harmoni dan bahagia. Tiada persefahaman menjadi punca penceraian dalam kebanyakan hubungan rumah tangga. Hal ini disebabkan oleh suami atau isteri yang tidak ramah, sering memendam perasaan terhadap pasangannya selain sering mendiamkan diri sehinggalah kurangnya komunikasi antara suami isteri. Selain itu, terdapat masalah tiada persefahaman seperti wujud suami isteri yang tidak memahami hak dan tanggungjawab masing-masing terutamanya dalam masalah nafkah. Pendek kata jalan penyelesaian paling mudah yang akan dipilih iaitu bercerai.
3)Pengabaian nafkah dan tanggungjawab
Seterusnya, punca yang ketiga berlakunya penceraian disebabkan oleh pengabaian nafkah dan tanggungjawab antara pasangan suami isteri. Sebagai seorang ketua atau suami dalam sesebuah rumah tangga, sangat penting bagi suami untuk melaksanakan hak seorang isteri. Perkahwinan merupakan tanggungjawab yang besar yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada pasangan dalam sesebuah perkahwinan. Setelah perkahwinan berlangsung, maka tiada lagi istilah hak dan tanggungjawab pada sesetengah perkara malahan ia meliputi tanggungjawab bersama suami isteri yang meliputi seluruh aspek kehidupan. Masing-masing mempunyai hak dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan dalam sebuah perkahwinan. Sekiranya hak dan tanggungjawab ini dilaksanakan dengan baik, nescaya rumah tangga akan beroleh ketenangan dan kebahagiaan. Oleh yang demikian, bolehlah dirumuskan bahawa tugas seorang suami bukanlah mudah bahkan amat besar yang memerlukan kepada ilmu dan pengetahuan mengenai hak-hak isteri untuk mewujudkan sebuah rumah tangga yang sakinah.
4)Masalah kewangan dan ekonomi
Masalah kewangan dan ekonomi boleh menjadi antara punca perceraian di kalangan masyarakat pada hari ini. Dengan situasi ekonomi sekarang yang amat mencabar, sesetengah pasangan hanya fokus mencari duit untuk persiapan perkahwinan tanpa mempersiapkan diri sepenuhnya dalam hal kewangan serta memikirkan kehidupan selepas berkahwin. Sesebuah keluarga yang tidak stabil akan mengakibatkan pasangan tersebut berdepan dengan pelbagai kesukaran sehingga menyebabkan tekanan dan seterusnya perkara ini membawa kepada ketidaksefahaman antara pasangan. Ahli Sosiologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Intan Hashimah Mohd Hashim, berkata, antara faktor yang menyumbang kepada penceraian adalah kegagalan dalam mengurus isu kewangan dan konflik antara pasangan dan hal ini menunjukkan bahawa kita mestilah memberikan tumpuan kepada kesejahteraan pasangan. Akhirnya, perkara yang tidak boleh diambil mudah bagi pasangan yang akan berkahwin adalah dari sudut kewangan kerana ianya menjamin kebahagiaan dan keutuhan rumah tangga itu.
Kesimpulanya, dalam menjalani bahtera kehidupan berumah tangga tidak semestinya kita dapat melarikan diri daripada menghadapi ujian atau konflik. Malahan ia menjadi lumrah kehidupan dalam sesebuah pasangan yang mana terdapat sebahagian suami isteri atau salah seorang tidak tidak mematuhinya dan akhirnya menyebabkan penceraian berlaku yang tidak dapat dielakkan. Terdapat pelbagai faktor yang mengakibatkan masalah penceraian ini berlaku, menyebabkan masalah keruntuhan rumah tangga dan merupakan kesudahan yang malang bagi sesebuah rumah tangga. Akan tetapi, mencari jalan penyelesaian bagi masalah tersebut adalah perkara yang terbaik dan menjadikan talak ini sebagai jalan yang terakhir.